html>
![]() |
||||
|
Saturday, January 14, 2012
... Mengenang 2011 (Bahagian 2) ... (Terima kasih kepada teman-teman yang mendoakan bapa cepat sihat, mendoakan saya semoga tabah. Saya sangat-sangat menghargainya). Kali ini saya mahu berkongsi tentang rezeki yang menggembirakan hati. Untuk hati yang selalu mendung, apa sahaja perkara kecil yang memberi erti, umpama cahaya matahari yang menyimbah diri. Tahun lepas, buat pertama kalinya saya tak pergi Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Namun begitu saya aktif membeli buku secara online. Kegilaan saya tahun lepas memburu buku-buku terpakai. Buku yang dibeli sepanjang tahun lepas berjumlah 62 buah. Kesemuanya adalah buku yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Secara tak langsung terciptalah rekod "tahun tanpa novel Inggeris". Pastinya ada buku bahasa Inggeris yang saya idamkan. Ulangtahun kelahiran saya bulan lepas, seorang teman mahu menghadiahkan saya sebuah buku. Seronok bila ada orang nak hadiahkan buku. Katanya, cakap sahaja tajuk apa. Saya terbayangkan Murakami. Tetapi akhirnya memilih sebuah novel Bahasa Melayu yang sangat murah, iaitu… (akan saya beritahu kelak, Insya Allah). Tahun lepas juga boleh saya katakan tahun gajet. Saya beli kamera digital baru, telefon bimbit baru dan juga sebuah komputer riba. Semua itu dibeli kerana yang lama sudah tidak boleh dipakai lagi. Kiranya, memang patut sangat diganti. Kalau ikutkan saya, selagi boleh pakai, selagi itulah saya guna. Apapun, yang paling istimewa sekali saya beli tahun lepas sebenarnya : sebuah kamera filem. Semenjak November 2010 saya kembali memberikan perhatian pada kamera filem. Ada rasa rindu pada "keindahan" filem. Keindahan menunggu dan tertanya-tanya bagaimana hasil gambar. Keindahan pada suatu ketidaksempurnaan. Ini gambar kamera filem saya yang kedua. Saya beli tahun lepas, sebagai hadiah harijadi untuk diri sendiri. Kamera ini diperkenalkan pada tahun 1967 dan dihentikan pembuatannya pada 1984. Saya belum masukkan filem lagi. Harap-harap ia berfungsi dengan baik. ![]() Wednesday, January 04, 2012
... Mengenang 2011 (Bahagian 1) ... Bulan lepas, awal Disember, ketika blog ini genap usianya 8 tahun. Saya pernah terfikir untuk mengakhiri perjalanan blog ini. Terasa seperti tiada apa yang perlu diluah lagi. (Barangkali sebenarnya ada, dan terlalu banyak). Cuma saya yang sudah hilang sentuhan, tiada lagi magis-magis perkataan. Dugaan bermula di pertengahan tahun. Bapa saya, keadaan kesihatannya kurang memuaskan. Sering keluar masuk wad. Bayangkan, daripada saya tidak tahu di mana letak duduknya sekian-sekian wad, sekarang saya sudah tahu. Daripada saya tidak tahu di mana terletaknya farmasi, sekarang saya sudah tahu. Begitu juga dengan jenis ubat-ubatan. Pada masa itu, saya merasa agak tertekan. Terasa otak begitu tepu untuk menulis dan akhirnya saya mengabaikan blog. Sesungguhnya saya merasa sangat susah hati dengan kondisi bapa, namun memendam segalanya sendiri. Kali terakhir bapa dimasukkan ke wad, adalah Hari Raya ketiga. Sepanjang Ramadan pun bapa sudah tidak sihat. Degupan jantungnya tidak stabil. Bapa juga dikesan mengalami dementia. Sesungguhnya Hari Raya tidak lagi memberi erti. Raya tahun lepas tiada gambar seisi keluarga seperti tahun-tahun terdahulu. Macam mana dengan kondisi bapa sekarang? Masih lagi memerlukan pemerhatian yang khusus, sebulan sekali ke hospital. Ujian darah dan berjumpa doktor. Sudah hampir 8 bulan tidak memandu. Lebih banyak berbaring daripada melakukan aktiviti yang selalu dilakukannya semasa sihat. (Iaitu berkebun, menonton berita, membaca suratkhabar setiap hari). Sememangnya saya merasa bagaikan “kehilangan” bapa. Penyakit bapa telah membuatnya berubah, lebih banyak diam daripada bercakap, juga agak pelupa. Dan saya juga tidak tahu, adakah bapa akan kembali aktif dan punya kudrat. Sehingga ke hari ini. Setelah raya telah lama berlalu, tahun pun telah menginjak pada angka baharu, belum sekalipun bapa menyarung baju Melayu warna kelabu yang ditempah khas untuk Aidilfitri. Masih lagi tergantung sepi di dalam almari. Bapa, semoga cepat sihat.
|
Profile memang satu teka teki. { A.Samad Said } | airain | | analogi | | aurum | | azeel | | che da | | cikal | | cinta | | dasarhati | | fadli ahmad | | fajaril | | fiena | | kak wan | | kasih | | kausar | | kelambu | | perindu | | sitinesta | Credits |
|||